Dr. Yusuf Al-Qardhawi
Pertanyaan:
Siapakah Al-Khidir itu? Apakah ia seorang Nabi atau wali? Apakah ia hidup sampai saat ini sebagaimana dikatakan oleh banyak orang? Sebahagian orang mendakwa pernah melihat dan berjumpa dengannya. Adakah beliau masih hidup dan di mana beliau tinggal? Mengapa beliau tidak muncul dan tidak mengajarkan ilmunya kepada orang banyak khususnya pada zaman sekarang? Saya harapkan mendapat penjelasan yang memuaskan.
Jawab:
Al-Khidir adalah hamba yang soleh dan disebutkan oleh Allah Ta'ala dalam Surat Al-Kahfi, iaitu sebagai teman saidina Musa as dan Nabi Musa as. belajar daripadanya.
Al-Khidir mensyaratkan kepadanya agar bersabar. Maka Musa menyanggupinya. Al-Khidir berkata, "Bagaimana kamu dapat bersabar tentang sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup mengenainya?" Al-Khidir tetap menyertai Musa.
Beliau adalah seorang hamba yang diberi rahmat oleh Allah dan ilmu dari sisi-Nya. Musa terus berjalan bersamanya dan melihat Al-Khidir telah melubangi perahu. Maka Musa berkata, "Adakah engkau melubanginya supaya penumpangnya tenggelam?"
Cerita selanjutnya telah disebutkan dalam Surat Al-Kahfi.
Musa berasa hairan dengan perbuatan Al-Khidir hinggalah Al-Khidir menerangkan kepadanya sebab-musabab dari perbuatan yang dilakukannya itu. Pada akhir pembicaraannya, Al-Khidir berkata, "Bukanlah aku melakukan itu menurut kemahuanku sendiri.
Demikian itu adalah penjelasan dari perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat bersabar dengannya." Maksudnya, semua perbuatan itu hanyalah kerana kemahuan Allah Ta'ala.
Sesetengah orang berkata tentang Al-Khidir:
Dia hidup sesudah Musa hingga zaman Isa, kemudian zaman Nabi Muhammad saw. Dia sekarang masih hidup, dan akan hidup hingga Kiamat. Ditulis orang kisah-kisah, riwayat-riwayat dan dongeng-dongeng bahawa Al-Khidir menjumpai si Fulan dan memakaikan kirqah (pakaian) kepada si Fulan dan memberi pesan kepada si Fulan.
Sama sekali tidak adil pendapat yang mengatakan bahawa Al-Khidir masih hidup - sebagaimana anggapan sesetengah orang - tetapi sebaliknya, ada dalil-dalil dari Al-Qur'an, Sunnah, akal dan ijmak, antaranya para ulama dari umat ini bahawa
Al-Khidir sudah tiada.
Saya anggap cukup dengan mengutip keterangan dari kitab Al-Manaarul Muniif fil-Haditsish-Shahih wadl-Dla'if karangan Ibnul Qayyim.
Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan dalam kitab itu ciri-ciri dari hadis maudu (palsu), yang tidak diterima dalam agama. Antara cirinya ialah "hadis-hadis yang menceritakan tentang Al-Khidir dan kehidupannya." Semuanya adalah dusta. Tidak satu pun hadis yang sahih.
Antara hadis maudu (palsu), itu ialah hadis yang berbunyi:
"Bahawa Rasulullah saw. sedang berada di masjid, ketika itu beliau mendengar pembicaraan dari arah belakangnya. Kemudian beliau melihat, ternyata ia adalah Al-Khidir."
Juga hadis, "Al-Khidir dan Ilyas berjumpa setiap tahun." Dan hadis, "Jibril, Mikail dan Al-Khidir bertemu di Arafah."
Ibrahim Al-Harbi ditanya tentang umur Al-Khidir yang panjang dan bahawa dia masih hidup. Maka beliau menjawab "Tidaklah ada yang memasukkan faham ini kepada orang-orang, kecuali setan."
Imam Bukhari ditanya tentang Al-Khidir dan Ilyas, apakah keduanya masih hidup? Maka beliau menjawab, "Bagaimana hal itu boleh terjadi?" Nabi saw. telah bersabda, "Tidaklah akan hidup sampai seratus tahun lagi bagi orang-orang yang berada di muka bumi ini." (H.r. Bukhari-Muslim) .
Banyak imam lainnya yang ketika ditanya tentang hal itu, maka mereka menjawab dengan menggunakan Al-Qur'an sebagai dalil:
"Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum kamu (Muhammad), maka jika kamu mati apakah mereka akan kekal?" (Q.s. Al-Anbiyaa': 34).
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah ditanya tentang hal itu, maka dia menjawab, "Andai kata Al-Khidir masih hidup, tentulah dia wajib mendatangi Nabi saw. dan berjihad bersamanya, serta belajar darinya." Nabi saw. telah bersabda ketika perang Badar, "Ya Allah, jika pasukan ini binasa, nescaya Engkau tidak disembah di bumi."
Pada waktu itu mereka berjumlah 313 orang laki-laki yang dikenal dengan nama-nama mereka, nama-nama dari bapa-bapa mereka dan suku-suku mereka. Maka, di manakah Al-Khidir pada waktu itu?
Al-Qur'an dan Sunnah serta pembicaraan para peneliti umat menyangkal bahawa Al-Khidir masih hidup seperti tanggapan sesetengah orang. Ini selaras dengan firman Allah swt. Yang disebut di atas.
Jika Al-Khidir itu manusia, maka dia tidak akan kekal kerana hal itu ditolak Al-Qur'anul Karim dan Sunnah yang suci. Seandainya dia masih hidup, tentulah dia datang kepada Nabi saw. Nabi saw. telah bersabda, "Demi Allah, andai kata Musa masih hidup, tentu ia akan mengikuti aku." (H.r. Ahmad, dari Jabir bin Abdullah) .
Jika Al-Khidir seorang Nabi, maka dia tidak lebih utama daripada Musa as, dan jika dia seorang wali, tidaklah dia lebih utama daripada Abu Bakar r.a.
Apakah hikmahnya sehingga dia hidup hingga ke saat ini - sebagaimana anggapan sesetengah orang - di padang luas, gurun dan gunung-gunung? Apakah faedahnya syar'iyah mahupun akliah/akal di sebalik hakikat yang mendakwa beliau masih hidup?
Sesungguhnya orang-orang selalu menyukai cerita-cerita ajaib dan dongeng-dongeng fantasi. Mereka menggambarkannya menurut keinginan mereka sendiri sedangkan hasil dari imaginasinya itu mereka gunakan sebagai baju keagamaan. Cerita ini disebarkan di kalangan sebahagian orang awam dan mereka menganggapnya berasal dari agama mereka, padahal sama sekali bukan dari agama. Hikayat-hikayat yang diceritakan tentang Al-Khidir hanyalah reka palsu manusia dan tidak diturunkan oleh Allah hujah untuk itu.
Adapun mengenai pertanyaan: Apakah dia seorang Nabi atau wali?
Para ulama berbeza pendapat mengenai hal itu. Tampaknya yang lebih tepat ialah bahawa Al-Khidir adalah seorang Nabi sebagaimana tercantum pada ayat yang mulia dari Surat Al-Kahfi, "... dan bukanlah aku melakukannya menurut kemahuanku sendiri ..."
(Q.s. Al-Kahfi: 82).
Perkataan itu adalah dalil bahawa dia melakukan apa yang telah dilakukannya itu berdasarkan perintah Allah dan wahyu-Nya, bukan dari dirinya. Lebih tepat lagi, dia adalah seorang Nabi (untuk kaumnya) dan bukan seorang wali.
adaptasi & disunting dari mediaisnet
Saturday, June 24, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment