Sunday, September 24, 2006

Hukum Membela Anjing

ALhamdulillah, kita dah dengar banyak ilmu tentang kenajisan/ketidaknajisan anjing.

Minta tuan-tuan ilmuwan terangkan hukum beserta dalilnya untuk membela anjing, bagi tujuan peliharaan (pet).

Jazakallahulkhair



alJawab:

Pemeliharaan anjing sebagai hobi atau pet.

Penjelasannya boleh saja ditemui dalam kitab yang masyhur, alHalal wal Haram fil Islam oleh Prof Dr Yusof alQardhawi yang telah lama diterjemah dan beredar dalam pasaran.

Kata alQardhawi, hukum membela anjing sebagai pet (hobi) adalah haram, yakni diharamkan oleh RasuluLlah saw. Dalilnya: Dari Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi saw bersabda," Barangsiapa mmelihara anjing bukan utk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya bekrurangan satu qirath." [Bukhari-Muslim dan semua ahli hadith yg lain] Inilah juga pendapat majoriti madzhab, antaranya Syafi'iy, Hambali, Maliki dan Zahiri ( alMajmuu', IX/234)

Antara alasan-alasan fuqaha' seperti Ibn Hajar ialah:

1. Ia menakutkan jiran-jiran dan orang lalu lalang di luar rumah kita atau orang yg mengunjunginya
2. berkurangnya pahala kepada pemeliharanya
3. Keengganan Malaikat masuk rumah yang ada anjing
4. Ada anjing yang menjadi dari jelmaan anjing (anjing hitam pekat)
5. Tabi'at anjing yang suka menjilat dan kenajisan jilatan itu mungkin menyukarkan pemeliharanya. (al-Fath, X/395)

Ada pendapat yang mengatakan ia makruh sahaja kerana tiada larangan yang tegas dan lugas, demikian kata Ibn Abdil Barr (atTamhid, 14/221).

Kata al-Qardhawi, walaupun majoriti fuqaha' mengatakan haram, hakikat sebenarnya Islam tidaklah melihat anjing dengan keras, kasar dan harus membunuhnya. Dalil: hadith Jabir ra, " kalau bukan kerana anjing-anjing itu satu ummat di antara umat-umat yang lainnya, niscaya aku perintahkan membunuhnya. (HR atTermidzi dan Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani dalam Ghayatul Maram)

Rumusan:

1. Berdasarkan dalil-dalil yang banyak, maka pemeliharaan anjing sebagai hobi adalah dilarang oleh RasuluLlah saw dengan berita-berita yang tidak menggembirakan kepada pemeliharanya.

2. Walaupun anjing ditegah menjadi hobi, Islam tidaklah bersikap keras kepada anjing jika ada keperluan seperti unit anjing di jabatan kepolisian, menjaga ternakan dan tanaman.

sekian

Tuesday, September 19, 2006

Amalan Membaca yasin Pada Orang Sakit

Soalan :

Adakah amalan membaca surah Yasin ketika menghadapi orang sakit tenat (kita beranggapan dia menuju kearah kematian) merupakan sunnah. Apakah yang patut dibuat ketika berhadapan dgn keadaan begitu.


Jawapan :

1- Para ulama berbeza pendapat tentang hadith yang menyuruh dibacakan surah Yasin kepada orang yang sedang Nazak.



اقرأوا على موتاكم يس

Dalam lafaz yang lain : اقْرَءُوا يس عَلَى مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: “Bacakanlah kepada orang yang hamper mati dari kalangan kamu itu dengan surah Yasin.” (al-Syaukani menghasankan hadith ini di dalam al-Fath al-Rabbani. Manakala al-Nawawi melemahkannya di dalam al-Azkar, Ibn al-‘Arabi menukilkan dari al-Daraqutni bahawasanya hadith ini adalah lemah sanadnya dan majhul matannya, dan tidak ada yang sahih dalam bab ini satu hadithpun. Al-Albani juga melemahkan hadith ini di dalam Irwa’ al-Ghalil dan al-Silsilah al-Doiefah. Al-Zahabi pula di dalam Mizan al-I’tidal berkata (dalam sanadnya) ada Abu ‘Uthman yang tidak dikenali bapanya dan juga dia)

Namun terdapat athar dari sahabat Nabi saw yang meminta dibacakan surah Yasin kepadanya ketika hampir mati. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sofwan kataya menceritakan kepadaku guru-guruku bahawasanya mereka menziarahi Ghudaif bin al-Haarith al-Thumali (seorang sahabat) ketika hamir mati berkata :

"Adakah dari kalangan kamu seseorang untuk membaca surah Yasin ? Maka Soleh bin Syuraih al-Sakuni membacanya, ketikamana sampai hingga ayat yang ke 40, beliau meninggal dunia. Dia berkata (Sofwan) adalah guru-guruku berkata : "Jika dibacakan (surah Yasin) di sisi mayat, ia meringankan (sakaratul maut). Berkata sofwan : dan Isa bin al-Mu'tamir kepada Ibn Ma'tad."

Al-Hafidz Ibn Hajar di dalam al-Isobah berkata : Isnad hadith ini hasan. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga memilih pendapat ini, di dalam al-Ikhtiyaraat beliau berkata :

"Adapun membaca (Yasin) selepas kematiannya (mayat) adalah bid'ah, berbeza dengan membacanya kepada orang yang hampir mati, kerana sesungguhnya ia disunatkan dengan Yasin."

Sebahagian ulama berpendapat sunat membaca surah Yasin ini kepada orang yang hampir mati kerana ia mengandungi al-Tauhid, al-Mi'aad (janji) dan khabar gembira dengan syurga bagi sesiapa yang mati dalam tauhid. Iaitulah pada ayat (maksudnya) :

"Mudah-mudahan kaumku mengetahui, dengan pengampunan terhadapku oleh tuhanku."

Maka ruh mendapat khabar gembira dengan ayat ini, dan ia memudahkan keluarnya dari jasad. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata :

"(Hadith "Bacalah Yasin kepada orang yang hampir mati di kalangan kamu) hadith ini adalah hadith lemah, padanya ada sesuatu kelemahan. Tempat bacaaan (surah Yasin) jika sahih hadith tersebut ialah untuk orang yang telah nazak, dibacakan padanya surah Yasin. Sebahagian ulama berkata : Padanya (surah Yasin) ada faedah, iaitu memudahkan ruh keluar, kerana di dalamnya (surah Yasin) Allah berfirman (maksudnya) : "Dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga, lalu dia berkata alangkah baik kaum aku mengetahuinya, dengan pengampunan tuhanku kepadaku dan Dia menjadikan aku dari kalangan orang-orang dimuliakan." Maka surah Yasin dibaca kepada orang yang sakit hampir mati, jika sahih hadith ini. Adapun baca (surah Yasin) di kuburan maka tidak ada asal baginya." (Fatawa Ibn Uthaimin 17/74)

http://63.175.194.25/index.php?ln=ara&ds=qa&lv=browse&QR=72201&dgn=4

Ustaz Abd Rasyid bin Idris di dalam risalah ringkas pengurusan jenazah beliau menyebut : “Jika dibaca hendaklah seperti berikut :

i- Tidak mengganggu Talkin Syahadah

ii- Tidak dilakukan berjamaah

Ima Ahmad meriwayatkan dari Sofwan katanya :



حَدَّثَنِي الْمَشْيَخَةُ أَنَّهُمْ حَضَرُوا غُضَيْفَ بْنَ الْحَارِثِ الثُّمَالِيَّ (صحابي) حِينَ اشْتَدَّ سَوْقُهُ ، فَقَالَ : هَلْ مِنْكُمْ أَحَدٌ يَقْرَأُ يس ؟ قَالَ : فَقَرَأَهَ صَالِحُ بْنُ شُرَيْحٍ السَّكُونِيُّ ، فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ مِنْهَا قُبِضَ . قَالَ : فَكَانَ الْمَشْيَخَةُ يَقُولُونَ : إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا . قَالَ صَفْوَانُ : وَقَرَأَهَا عِيسَى بْنُ الْمُعْتَمِرِ عِنْدَ ابْنِ مَعْبَدٍ

Maksudnya : “Menceritakan kepadaku guru-guruku, bahawasanya mereka telah menziarahi Ghudaif bin al-Harith al-Thumali (seorang sahabat) ketika bersangatan nazaknya. Lalu dia berkata : “Apakah di kalangan kamu ada seseorang yang boleh bacakan surah Yasin ? Katanya : Maka Soleh bin Syuraih al-Sakuuni membacanya, apabila sampai 40 ayat, dia meningga dunia. Katanya : adalah guru-guruku berkata : Jika dibacakan (surah Yasin) di sisi mayat, diringankan kepadanya. Sofwan berkata : Isa bin al-Mu’tamir juga membaca surah Yasin kepada Ibn Ma’bad.”

Dari hadith ini menunjukkan jika hendak dibacapun surah yasin itu, hendaklah di baca oleh seorang bukan berkumpulan.

iii- Hendaklah dibaca dengan Tartil



Wallahu a'lam.

Friday, September 15, 2006

Roh Dingati Dengan Bacaan Al-Fatihah Sangahan



SANGGAHAN


Abu Hurairah meriwayatkan bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda :
Maksudnya : "Apabila mati seseorang insan, maka terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga : Sedekah Jariah, atau ilmu yang dia manfaatkan dengannya, atau anak soleh yang mendoakannya." (Riwayat Imam Muslim)

ALLAH s.w.t. berfirman di dalam al-Quran :

Maksudnya : "Dan bahawasanya tidak ada bagi seseorang insan itu melainkan apa-apa yang diusahakannya sahaja." (an-Najm - 39)

al-Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya "Tafsir al-Quran al-'Azim" ketika menafsirkan ayat ini berkata :

"Dari ayat yang mulia ini as-Syafi'e r.h dan dan orang-orang yang mengikutnya membuat kesimpulan bahawasanya bacaan al-Quran tidak sampai hadiah pahalanya kepada simati kerana bacaan tersebut bukanlah daripada amalannya (simati) dan bukan juga usahanya. Kerana itu Rasulullah s.a.w. tidak menyunatkan perbuatan tersebut kepada umatnya, dan tidak ada juga galakan kepada mereka, tidak ada juga nas dan tindakan daripada baginda. Tidak diriwayatkan juga perkara tersebut daripada salah seorang sahabat r.'anhum. Kalaulah perkara tersebut adalah baik, pastilah mereka (para sahabat) akan mendahului kita dalam melakukannya..."

Inilah hadith dan ayat al-Quran beserta penafsiran dari para ulama dalam bab bacaan kepada mayat. Kalau sedekah pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada mayat, bagaimana boleh datang pula dakwaan ruh diingati dengan bacaan al-Fatihah ?

Berkenaan ayat al-quran dari surah an-Naba' - 38. Ayat tersebut menceritakan keadaan hari kiamat bukan sebaliknya. Ia tidak ada kena mengena langsung tentang permintaan ruh untuk melihat jasad mereka, begitu juga dakwaan ruh diingati dengan bacaan al-Fatihah. Artikel tersebut jelas telah meletakkan ayat al-quran bukan pada tempatnya.

wallahu a'lam.

Hukum Memegang Al-Quran Semasa Haid

Pertama: Hukum memegang al-Qur’an.

Umumnya terhadap persoalan pertama terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh.

Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:


(al-Qur’an) Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [1]


Dan sabda Rasulullah (s.a.w):


Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[2]


Manakala bagi pendapat kedua pula, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil yang tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersanggama. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil yang tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.


Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:


Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.[3]


Berkata Ibnu Abbas (r.a), fii Kitabim-maknun bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[4] Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz , di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.


Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.


Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci dari najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci dari hadas besar seperti haid dan junub, dan suci dari hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:


Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.[5]


Oleh itu seseorang itu perlu mencari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah (s.a.w) kepada seorang sahabat di Yaman. Di saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru mungkin sahaja surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam kerana sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.


Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.


Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, diyakini bahawa yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an. Hal yang sama adalah bagi wanita yang sedang dalam keadaan nifas dan istiadah.


Kedua: Hukum membaca al-Qur’an.


Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah (s.a.w):

Seseorang yang dalam keadaan junub atau haid tidak membaca sesuatu apa jua dari al-Qur’an.[6]


Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah daif. Berkata Imam Nawawi: Adapun hadis Ibnu Umar: “Seseorang yang dalam keadaan junub atau haid tidak membaca sesuatu apa jua dari al-Qur’an” , maka ia diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang daif, didaifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedaifan yang terdapat padanya adalah jelas.[7]


Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.[8] Namun pematukkan hukum ini tidak dianggap tepat kerana haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar dari keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.


Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[9]

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang muslimah, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang menegah sesuatu perkara seperti solat, puasa, tawaf dan bersanggama.

Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang muslimah yang sedang dalam keadaan haid.


Pernah sekali Abu Hurairah (r.a) mengasingkan diri daripada Rasulullah (s.a.w). Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:
Subhanallah ya Abu Hurairah ! Sesungguhnya orang mukmin tidak ia menjadi najis.[10]


Kata-kata Rasulullah (s.a.w) di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.


Akhirnya berkata Imam Ibnu Taimiyah terhadap persoalan ini: Sesungguhnya adalah para wanita mereka mengalami haid di zaman Rasulullah (s.a.w), maka seandainya membaca al-Qur’an adalah diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi (s.a.w) akan menjelaskannya kepada umatnya.

Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi (s.a.w). Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sebenarnya adalah tidak haram
.[11]


Oleh itu wanita yang sedang haid dibolehkan membaca al-Qur’an seperti biasa. Demikian juga bagi wanita yang berada dalam keadaan nifas dan istiadah. Kepada Allah kembali segala kebenaran.

Nota Kaki:


[1] Al-Waqiah (56): 79

[2] Sahih: Hadis daripada ‘Amru bin Hazm (r.a), dikeluarkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul al-Samad dalam al-Ittihafu bitakhrij Ahadith al-Isyraf ‘ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld 1, ms 77-82.

[3] Al-Waqiah (56): 77-80

[4] Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabiin sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir al-Tabari dalam Jamii al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999), riwayat no: 25955 – 25970. Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut tp thn), jld 5, ms 463-464.

[5] al-Taubah (9): 28.

[6] Daif: Hadis daripada Abdullah ibnu Umar (r.a), dikeluarkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah, al-Daquthni dan lain-lain. Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya daif. Nasiruddin Albani tidak menjadikannya penguat antara antara satu sama lain manakala Badri Abdul al-Samad berpendapat ia saling menguat sehingga dapat diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). Lihat Irwa al-Ghaleel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktabah al-Islami, Beirut), hadis no: 192 dan al-Ittihafu bitakhrij Ahadith al-Isyraf, jld 1, ms 83-84.

[7] Majmu’ Syarah al-Muhazzab (Dar Ihia’ al-Turath al-Arabi, Beirut 2001), jld 2, ms 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara).

[8] Lihat Majmu Syarah al-Muhazzab jld 2, ms 267-268 (Kitab Haid, berkata al-Musannif: “Dan dilarang atasnya membaca Qur’an….”).

[9] Lihat al-Kasani – al-Bada‘i al-Sona‘i (Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut 1982), jld 1, ms 38 (Bab pemasalahan adab-adab wudhu’).

[10] Sahih: Ringkasan hadis daripada Abu Hurairah (r.a), dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, lihat al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan (Fu‘ad Abdul Baqi; Dar al-Salam, Riyadh 1995) – no: 210.

[11] Majmu al-Fatawa 26/191 (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld 13, ms 104. Lihat juga pembahasan Ibnu Hazm dalam al-Muhalla (Dar Ihia al-Turath al-Arabi, Beirut tp thn), jld 1, ms 78-85 (Masalah no: 116: Membaca al-Qur’an dan bersujud dan menyentuh mushaf).

wallahua'lam

Wednesday, September 13, 2006

Bekerja Berat, Haruskah Berbuka..

Pekerja buruh yang bekerja berat di siang hari, apakah wajib ke atas mereka berpuasa ?


Jawapan :

Ibadat puasa diwajibkan ke atas semua umat Islam, melainkan beberapa golongan yang diberikan keuzuran oleh agama seperti orang yang bermusafir, sakit, dan seumpamanya. Orang yang bekerja berat tidak termasuk di dalam golongan yang dibenarkan tidak berpuasa. Mereka bukan orang sakit, musafir dan seumpamanya yang dibenarkan untuk tidak berpuasa.

Wajib ke atas mereka berniat dan berazam untuk berpuasa. Mereka bangun bersahur dan menahan diri dari makan dan minum setelah terbit fajar siddiq. Mereka termasuk dalam kumpulan umat Islam yang diwajibkan puasa. Maknanya mereka keluar dari rumah pada pagi hari ke tempat kerja dalam keadaan mereka berpuasa.

Setelah itu jika di pertengahan hari, disebabkan kerja yang berat sehingga jika mereka tidak berbuka akan memudharatkan diri mereka, maka harus ke atas mereka berbuka puasa. Dan wajib pula mereka mengqadhanya pada hari-hari yang sesuai. Jika tidak ada kemudharatan untuk mereka berpuasa dengan kerja mereka tersebut, maka wajib ke atas mereka berpuasa sama seperti umat Islam yang lainnya.

Demikilanlah fatwa yang dinyatakan oleh al-SYeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz dan al-Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Hamid r.h.

wallahu a'lam.

-------

http://www.islamqa.com/index.php?ref=43772&ln=ara

Makan Di Siang Hari Untuk Yang Tidak Berpuasa (keuzuran)

Wanita yang tidak boleh berpuasa disebabkan haid atau seumapamanya, bolehkah dia makan dan minum di siang hari ?

Jawapan :

Wanita yang tidak boleh berpuasa disebabkan haid dan nifas tidak diwajibkan kepada mereka Imsak (menahan diri dari makan dan minum) pada siang hari, demikian juga halnya dengan orang yang dalam musafir.

al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata :

"Apabila orang yang musafir sampai ke bandarnya dalam keadaan dia tidak berpuasa, maka tidak wajib ke atasnya untuk imsak, dia boleh untuk makan dan minum pada baki harinya itu, kerana jika dia imsak tidak memberi apa-apa faedah kepadanya disebabkan wajib ke atasnya qadha puasa pada hari tersebut. Inilah pendapat yang benar. Inilah mazhab Malik dan Syafie dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad r.h. Akan tetapi tidak sepatutnya dia makan dan minum terang-terangan." (Majmu; fatawa ibn 'Uthaimin)

Katanya lagi : "Jika seorang wanita suci daripada haid atau wanita yang bernifas suci di siang hari (puasa) tidak wajib ke atas mereka imsak, mereka boleh makan dan minum, kerana imsak mereka tidak memberi apa-apa faedah disebakan mereka perlu menqadha puasa mereka itu. Inilah mazhab Malik, al-Syafie dan salah satu riwayat dari Ahmad. dan telah diriwayatkan dari Ibn Mas;ud katanya :

من أكل أول النهار فليأكل آخره

Maksudnya : "Siapa yang telah makan (tidak berpuasa disebabkan keuzuran) pada awal hari, maka dia makanlah pada akhirnya (baki harinya)." (majmu' fatawa ibn uthaimin)

Ketika ditanya kepadanya : "Siapa yang berbuka pada siang hari ramadhan disebabkan keuzuran yang dibenarkan syara', apakah harus baginya untuk makan dan minum baki harinya.?"

Jawab Ibn Uthaimin : "Harus dia makan dan minum kerana dia berbuka disebabkan keuzuran yang dibenarkan syara'. Jika dia berbuka disebabkan keuzuran yang dibenarkan syara' maka telah hilang kehormatan hari itu pada haknya, maka dia boleh makan dan minum. Berbeza dengan seorang lelaki yang berbuka pada siang ramadhan tanpa keuzuran, dia wajib imsak sepanjang harinya, dan dia wajib qadha, maka perlu diperhatikan perbezaan antara dua perkara ini." (majmuk fatwa Ibn Uthaimin)

wallahu a'lam.

--------

http://www.islamqa.com/index.php?ref=65635&ln=ara