Friday, September 15, 2006

Hukum Memegang Al-Quran Semasa Haid

Pertama: Hukum memegang al-Qur’an.

Umumnya terhadap persoalan pertama terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh.

Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:


(al-Qur’an) Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [1]


Dan sabda Rasulullah (s.a.w):


Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[2]


Manakala bagi pendapat kedua pula, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil yang tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersanggama. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil yang tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.


Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:


Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.[3]


Berkata Ibnu Abbas (r.a), fii Kitabim-maknun bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[4] Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz , di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.


Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.


Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci dari najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci dari hadas besar seperti haid dan junub, dan suci dari hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:


Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.[5]


Oleh itu seseorang itu perlu mencari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah (s.a.w) kepada seorang sahabat di Yaman. Di saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru mungkin sahaja surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam kerana sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.


Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.


Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, diyakini bahawa yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an. Hal yang sama adalah bagi wanita yang sedang dalam keadaan nifas dan istiadah.


Kedua: Hukum membaca al-Qur’an.


Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah (s.a.w):

Seseorang yang dalam keadaan junub atau haid tidak membaca sesuatu apa jua dari al-Qur’an.[6]


Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah daif. Berkata Imam Nawawi: Adapun hadis Ibnu Umar: “Seseorang yang dalam keadaan junub atau haid tidak membaca sesuatu apa jua dari al-Qur’an” , maka ia diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang daif, didaifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedaifan yang terdapat padanya adalah jelas.[7]


Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.[8] Namun pematukkan hukum ini tidak dianggap tepat kerana haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar dari keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.


Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[9]

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang muslimah, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang menegah sesuatu perkara seperti solat, puasa, tawaf dan bersanggama.

Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang muslimah yang sedang dalam keadaan haid.


Pernah sekali Abu Hurairah (r.a) mengasingkan diri daripada Rasulullah (s.a.w). Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:
Subhanallah ya Abu Hurairah ! Sesungguhnya orang mukmin tidak ia menjadi najis.[10]


Kata-kata Rasulullah (s.a.w) di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.


Akhirnya berkata Imam Ibnu Taimiyah terhadap persoalan ini: Sesungguhnya adalah para wanita mereka mengalami haid di zaman Rasulullah (s.a.w), maka seandainya membaca al-Qur’an adalah diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi (s.a.w) akan menjelaskannya kepada umatnya.

Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi (s.a.w). Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sebenarnya adalah tidak haram
.[11]


Oleh itu wanita yang sedang haid dibolehkan membaca al-Qur’an seperti biasa. Demikian juga bagi wanita yang berada dalam keadaan nifas dan istiadah. Kepada Allah kembali segala kebenaran.

Nota Kaki:


[1] Al-Waqiah (56): 79

[2] Sahih: Hadis daripada ‘Amru bin Hazm (r.a), dikeluarkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul al-Samad dalam al-Ittihafu bitakhrij Ahadith al-Isyraf ‘ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld 1, ms 77-82.

[3] Al-Waqiah (56): 77-80

[4] Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabiin sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir al-Tabari dalam Jamii al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999), riwayat no: 25955 – 25970. Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut tp thn), jld 5, ms 463-464.

[5] al-Taubah (9): 28.

[6] Daif: Hadis daripada Abdullah ibnu Umar (r.a), dikeluarkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah, al-Daquthni dan lain-lain. Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya daif. Nasiruddin Albani tidak menjadikannya penguat antara antara satu sama lain manakala Badri Abdul al-Samad berpendapat ia saling menguat sehingga dapat diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). Lihat Irwa al-Ghaleel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktabah al-Islami, Beirut), hadis no: 192 dan al-Ittihafu bitakhrij Ahadith al-Isyraf, jld 1, ms 83-84.

[7] Majmu’ Syarah al-Muhazzab (Dar Ihia’ al-Turath al-Arabi, Beirut 2001), jld 2, ms 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara).

[8] Lihat Majmu Syarah al-Muhazzab jld 2, ms 267-268 (Kitab Haid, berkata al-Musannif: “Dan dilarang atasnya membaca Qur’an….”).

[9] Lihat al-Kasani – al-Bada‘i al-Sona‘i (Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut 1982), jld 1, ms 38 (Bab pemasalahan adab-adab wudhu’).

[10] Sahih: Ringkasan hadis daripada Abu Hurairah (r.a), dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, lihat al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan (Fu‘ad Abdul Baqi; Dar al-Salam, Riyadh 1995) – no: 210.

[11] Majmu al-Fatawa 26/191 (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld 13, ms 104. Lihat juga pembahasan Ibnu Hazm dalam al-Muhalla (Dar Ihia al-Turath al-Arabi, Beirut tp thn), jld 1, ms 78-85 (Masalah no: 116: Membaca al-Qur’an dan bersujud dan menyentuh mushaf).

wallahua'lam

2 comments:

Dina 2010 said...

Terima kasih atas penerangan yang diberikan. Ianya memberi kemudahan kepada wanita2 yg ingin berijtihad untuk diri sendiri berkenaan isu2 berkenaan.

nani said...

Penerangan yg sgt jelas yg bersumberkan Al quran dan kupasan hadis. T kasih.