Monday, July 31, 2006

Hadith Khatam Quran

Assalamu`alaikum Ustaz...

Soalan :

Tentang hadith larangan khatam Quran kurang daripada 3 hari..... sertakan sekali status hadith itu.....

Wslm

Jawapan :

Khatam al-Quran.

Mengkhatamkan al-Quran mengambil kira sama kefahamannya dan menjaga adab-adab membaca al-Quran. Jika mengkhatamkan al-Quran kurang dari 3 hari, dalam keadaan tidak memelihara adabnya sudah tentu dilarang. Inilah yang difahami dari tujuan larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari 3 hari seperti yang difahami sebahagian ulama, kerana terdapat riwayat dari generasi al-Salaf al-Soleh mengkhatamkannya kurang dari 3 hari. Antara nya seperti yang disebut oleh Ibn 'Allan dari Abu Daud yang meriwayatkan dari al-Aswad bin Yazid :

أنـه كـان يـخـتـم الـقـرآن في رمـضـان كـل لـيـلـتين

Maksudnya : Adalah dia mengkhatamkan al-Quran dalam bulan ramadhan pada setiap dua malam."

Namun sebahagian ulama mereka melarang mengkhatamkan al-Quran kurang dari 3 hari berdasarkan hadith :

لا يفقه مَن قرأ القرآن في أقل من ثلاث

Maksudnya : "Tidak akan faham orang yang membaca (sehingga khatam) al-Quran kurang dari 3 hari." (al-Tirmizi berkata Hasan Sahih, dan al-Nawawi mensahihkannya di dalam al-Tibyan)

Abu 'Ubaid dan Ibn Abi Syaibah dan al-Marwazi meriwayatkan dari Mu'az bin Jabal yang tidak menyukai orang yang mengkhatamkan al-Quran kurang dari 3 hari. Ibn Kathir mensahihkan riwayat ini.

al-Nawawi berkata di dalam al-Tibyan : "Sejumlah al-Mutaqaddimin telah memakruhkan mengkhatam al-Quran dalam masa sehari semalam dengan berdalilkan dengan hadith yang sahih dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Asy bahawasanya Nabi saw bersabda : "Tidak akan faham orang yang membaca (sehingga khatam) al-Quran kurang dari 3 hari." Dan bukan seorang yang telah memakruhkan khatam al-quran kurang dari 3 hari dari kalangan al-Salaf. Sama juga seperti mazhab Abu Ubaidah, Ishak bin Rahuwiah dan selain mereka berdua dari generasi khalaf juga."

Sebahagian ulama berpendapat perbuatan sebahagian salaf al-Soleh yang mengkhatam al-Quran kurang dari 3 hari itu adalah pada bulan ramadhan sahaja. Larangan Nabi hanya kepada orang yang senantiasa mengkhatamkannya kurang dari 3 hari. Adapun di dalam bulan ramadhan tidak mengapa. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Ahmad, Ishak dan selain mereka.

wallahu a'lam.

http://www.quranway.net/index.aspx?function=Item&id=12&lang=

http://www.alminbar.net/alkhutab/khutbaa.asp?mediaURL=1368

http://saaid.net/mktarat/ramadan/k/8.htm

No comments: